Hak cipta

Lambang hak cipta.


Hak cipta (Tulisan Jawi: حق چيڤتا) ialah satu set hak eksklusif yang mengawal penggunaan sesuatu pernyataan idea atau maklumat. Dalam kebanyakan kes, hak-hak ini adalah untuk tempoh yang terhad. Simbol untuk hak cipta ialah ©, dan di sesetengah bidang kuasa, simbol itu boleh digantikan dengan (c).

Hak cipta boleh wujud dalam berbagai-bagai karya kreatif, intelektual, atau berseni. Ini termasuk puisi, tesis, drama, buku, filem, karya koreografi (tarian, balet, dll.), gubahan muzik, rakaman audio, lukisan, arca, gambar foto, perisian, serta siaran radio dan televisyen, dan di sesetengah bidang kuasa, juga seni reka perindustrian. Hak cipta ialah sejenis harta intelektual; reka bentuk dan seni reka perindustrian boleh merupakan jenis-jenis harta intelektual yang berasingan atau bertindih dalam sesetengan bidang kuasa.

Undang-undang hak cipta hanya melindungi bentuk atau cara yang mana idea-idea atau maklumat-maklumat ditunjukkan, iaitu "bentuk pernyataan fizikal". Hak cipta tidak direka bentuk untuk tujuan melindungi idea, konsep, fakta, gaya, atau teknik yang wujud atau digambarkan dalam karya hak cipta. Undang-undang hak cipta memberi ruang untuk karangan sindiran dan karangan pentafsiran terhadap karya-karya yang mungkin mempunyai hak cipta pada dirinya. Sila lihat Pembahagian idea-pernyataan.

Misalnya, hak cipta yang wujud dalam kartun Mickey Mouse melarang pihak-pihak yang tidak diberi kuasa untuk mengedarkan salinan-salinan kartun atau mencipta karya-karya terbitan yang meniru tikus antropomorfik Walt Disney, tetapi tidak melarang penciptaan karya-karya kesenian mengenai tikus antropomorfik secara amnya, asalkan karya-karya ini cukup berbeza supaya tidak meniru versi yang asli. Undang-undang yang lain mungkin mengenakan sekatan untuk penghasilan semula atau penggunaannya jika hak cipta tidak berbuat demikian, umpamanya tanda dagangan dan paten.

Sejarah hak cipta

Pengarang, penaung, dan pemilik karya dari zaman ke zaman telah mencuba untuk mengarahkan dan mengawalkan cara bagaimana karya mereka boleh digunakan selepas disebarkan kepada orang-orang lain. Baroness von Waldstätten, penaung Mozart, membenarkan gubahan-gubahan yang dicipta untuknya dipersembahkan secara bebas, sedangkan penaung George Frideric Handel, George I (raja Hanover pertama) menjaga Muzik Air (Water Music) dengan ketat.

Dua perkembangan utama pada abad ke-14 dan ke-15 kelihatan menimbulkan perkembangan hak cipta moden. Pertama, pengembangan perdagangan merkantil di bandaraya-bandaraya Eropah yang utama, dan kemunculan universiti-universiti sekular membantu untuk menghasilkan sebuah kelas borjuis yang berpendidikan dan yang berminat akan maklumat-maklumat terkini. Perkembangan-perkembangan ini membantu mendorong kemunculan sebuah bidang awam yang semakin dilayan oleh penjual-penjual alat tulis yang menghasilkan salinan buku atas permintaan. Kedua, perkembangan taip cerai oleh Johann Gutenberg dan perkembangan dan penyebaran mesin cetak menyebabkan penyalinan karya-karya tercetak secara besar-besaran menjadi lebih cepat dan lebih murah berbanding dahulu. Sebelum rekaan percetakan, proses untuk menyalin karya hampir menelan masa yang sama serta mengenakan kos yang serupa mahal dengan mencipta karya asli dan oleh itu, biasa dibuat oleh katib biarawan.

Kelihatannya, penerbit-penerbit dan bukannya pengarang-pengarang merupakan orang-orang pertama yang mendesak supaya sekatan dikenakan ke atas penyalinan karya tercetak. Berdasarkan fakta bahawa penerbit-penerbit kini biasa memperoleh hak cipta daripada pengarang sebagai syarat untuk menerbitkan karya mereka, salah satu daripada kritikan sistem terkini adalah bahawa undang-undang hak cipta lebih memanfaatkan penerbit berbanding pengarangnya. Menggunakan perbandingan dengan perubahan-perubahan yang ditempa oleh percetakan, ini merupakan satu hujah yang utama untuk menggunakan sistem-sistem fail kongsi setara-ke-setara.

Percubaan awal yang menarik terhadap hak cipta pada zaman moden ialah sebuah pemberitahuan dalam ha- Shirim asher li-Shelomo , satu pengesetan Psalm oleh penggubah Salomone Rossi, yang merupakan muzik pertama yang dicetak dengan teks muka taip Ibrani pada tahun 1623. Pemberitahuan itu mengandungi kata-kata makian rabai untuk sesiapa yang menyalin kandungannya.

Akta Hak Cipta 1710

Manakala kerajaan-kerajaan dahulu memberikan hak tunggal untuk penerbit-penerbit menjual karya tercetak, konsep moden untuk tempoh terhad berasal pada tahun 1710 dengan Statut Anne, sebuah undang-undang British. Statut pertama ini memberikan hak tunggal kepada pengarang (iaitu penciptanya dan bukannya kepada penerbit), serta perlindungan untuk pengguna karya tercetak bagi memastikan bahawa penerbit-penerbit tidak boleh mengawal kegunaannya selepas jualan. Statut itu juga mengehadkan tempoh hak tunggal selama 28 tahun dan selepas itu, semua karya akan diserahkan kepada domain awam.

Bagaimanapun, Akta 1710 mempunyai jalan keluar dari segi kawasan yang disebabkan akta itu tidak merangkumi semua wilayah British, tetapi hanya meliputi England, Scotland, dan Wales. Oleh itu, banyak cetakan semula untuk karya-karya hak cipta British telah dikeluarkan di Ireland serta tanah-tanah jajahan Amerika Utara tanpa sebarang lesen diperlukan daripada pemilik hak cipta. Tanpa membayar sebarang royalti, buku-buku itu dapat dijual pada harga yang lebih murah berbanding edisi-edisi London dan adalah amat popular dengan pembeli-pembeli buku. Jualan buku-buku ini telah dianggap oleh pemilik-pemilik hak ciptanya sebagai satu "cetak rompak" walaupun ini tidak melanggar sebarang undang-undang di wilayah-wilayah tersebut. Bagaimanapun, terdapat juga sebilangan penerbit yang mengadakan hubungan rasmi dengan pemilik-pemilik hak cipta British dan membayar royalti.

Cetakan semula di Ireland merupakan satu sumber kebimbangan yang besar untuk penerbit-penerbit London kerana buku-buku itu bukan sahaja menjejaskan jualan mereka di sana, tetapi juga melintasi sempadan masuk ke England, khususnya di provinsi-provinsi England yang menjadi semakin penting untuk penerbit-penerbit London. Perdagangan cetakan semula yang haram juga dilakukan oleh sebilangan penerbit dan penjual buku di wilayah British, dan mereka kekadang didakwa.

Perdebatan terhadap tempoh hak cipta

Antara tahun 1710 dan 1774, terdapat banyak perdebatan undang-undang tentang tempoh hak cipta yang dimaksudkan oleh Akta 1710.

Penerbit-penerbit Scotland pada dekad 1730-an memulakan pencetakan judul-judul karya British yang telah tamat tempoh hak ciptanya dan tidak lagi dilindungi oleh hak cipta. Mereka menjual buku-buku mereka di Scotland dan provinsi-provinsi Inggeris. Penerbit-penerbit Inggeris membantah perbuatan ini, berdasarkan konsep hak common law dalam sistem undang-undang Inggeris yang wujud sebelum Akta Hak Cipta. Di bawah hak common law itu, tempoh hak cipta untuk karya-karya terbitan adalah untuk selama-lamanya.

Kes Donaldson lawan Beckett pada 1774 menamatkan percanggahan pendapat tentang tempoh hak cipta. Mahkamah dalam kes ini memutuskan bahawa Parlimen mempunyai kuasa untuk mengehadkan tempoh hak cipta dan telah pun berbuat demikian. Keputusan ini membayangkan peralihan dalam idea-idea Inggeris terhadap hak cipta. Ahli-ahli Parlimen Inggeris yang membuat keputusan ini pada tahun 1774 telah memutuskan bahawa kawalan buku selama-lamanya oleh penerbit-penerbit London adalah tidak baik untuk kepentingan orang awam, khususnya kerana penerbit Inggeris biasanya mengenakan harga buku yang tinggi. Terdapat sesetengah tanggapan bahawa ini merupakan satu persoalan budaya atau kelas masyarakat. Karya-karya dengan tempoh hak cipta selama-lamanya diperlihatkan sebagai satu sekatan terhadap sesetengah warganegara untuk memperoleh maklumat terhadap sejarah kebudayaan tanah sendiri.

Konsep-konsep terhadap peranan pengarang dan penerbit, undang-undang hak cipta, dan tanggapan-tanggapan penyedaran am saling bertindak pada masa ini. Pengarang-pengarang sebelum ini diperlihatkan sebagai diwahyu dan sebahagian disebabkan oleh tanggapan ini, naungan merupakan cara yang sah untuk menyokong pengarang. Pengarang-pengarang yang dibayar berbanding dinaungi dianggap sebagai penulis upahan dan di pandang rendah. Bagaimanapun, tanggapan mengenai genius tersendiri semakin menjadi popular semasa dekad 1770-an (generasi selepas Donaldson lawan Beckett), dan penulis upahan lebih dapat diterima.

Perkembangan di Amerika Utara

Di tanah-tanah jajahan Amerika Utara yang dimiliki oleh Great Britain, pencetakan semula karya-karya hak cipta British sekali sekala tanpa kebenaran telah lama terjadi, tetapi hanya menjadi satu ciri utama dalam kehidupan penjajahan selepas 1760, khususnya di 13 buah tanah jajahan Amerika Utara. Dorongan untuk peralihan ini datang daripada para pencetak dan penjual buku Ireland dan Scotland yang telah berpindah ke tanah jajahan Amerika Utara pada pertengahan 1700-an. Mereka telah biasa dengan pencetakan semula dan penjualan karya-karya hak cipta British, dan meneruskan kegiatan mereka di Amerika Utara yang kemudian merupakan sebahagian besar perdagangan pencetakan dan penjualan di wilayah ini. Antara contohnya ialah Robert Bell, seorang Scotland yang menghabiskan hampir satu dekad di Dublin sebelum berpindah ke Amerika Utara British pada tahun 1768. Serupa dengan banyak pencetak dan penjual buku jajahan, operasinya memastikan kegiatan pencetakan semula telah bertapak menjelang Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika pada tahun 1776. Pelemahan pertalian Amerika dengan Britain berbetulan dengan pertambahan kegiatan pencetakan semula di luar kawalan hak cipta British.

Orang-orang Ireland juga mengembangkan perniagaan mereka ke Amerika Syarikat melalui penghantaran cetakan semula pada abad ke-18. Kesahan Ireland untuk mencetak semula dengan bebas tamat pada tahun 1801 ketika Parlimen Ireland bergabung dengan Great Britain dan membawa orang-orang Ireland di bawah taklukan undang-undang hak cipta British.

Perkembangan di Eropah

Pencetakan karya Inggeris tanpa hak cipta untuk pasaran bahasa Inggeris juga berlaku di negara-negara Eropah. Kerajaan British bergerak balas terhadap masalah ini dengan dua cara:

  • meminda statut-statut hak cipta sendiri pada tahun 1842 untuk melarang pengimportan sebarang cetakan semula karya hak cipta British masuk ke United Kingdom atau tanah-tanah jajahannya; dan
  • memulakan proses perjanjian bersaling dengan negara-negara lain.

Perjanjian pertama dibuat dengan Prusia pada tahun 1846. Amerika Syarikat mengekalkan diri di luar langkah ini selama beberapa dekad. Ini telah dibantah oleh pengarang-pengarang seperti Charles Dickens dan Mark Twain.

Konvensyen Berne

Konvensyen Berne pada tahun 1886 mengasaskan buat pertama kali pengakuan hak cipta di kalangan negara berdaulat, berbanding hanya secara dwipihak. Di bawah Konvensyen Berne, hak cipta untuk karya kreatif tidak perlu diisytiharkan kerana hak cipta wujud secara automatik pada penciptaan karyanya: seorang pengarang tidak perlu "mendaftar" atau "memohon" hak cipta dalam negara-negara yang memeterai perjanjian Konvensyen Berne. Sebaik sahaja sebuah karya "ditetapkan", iaitu ditulis atau dirakamkan pada sesuatu media fizikal, pengarangnya berhak secara automatik untuk semua hak cipta karyanya, termasuk sebarang karya terbitannya, kecuali dan sehingga pengarang itu menafikannya secara eksplisit, atau sehingga tempoh hak ciptanya luput. Konvensyen Berne juga menyebabkan semua pengarang asing diberikan hak yang sama dengan pengarang tempatan di mana-mana satu negara yang memeterai perjanjian Konvensyen itu.

United Kingdom memeterai Konvensyen Berne pada tahun 1887 tetapi tidak menguatkuasakan sebahagian besarnya sehingga 100 tahun kemudian ketika meluluskan Akta Hak Cipta, Seni Reka dan Paten 1988. Amerika Syarikat tidak memeterai Konvensyen Berne sehingga 1989.

Pautan luar

  • Hak Cipta lawan Komuniti dalam Zaman Rangkaian Komputer – ucapan oleh Richard Stallman. Bahagian yang paling berkait bermula pada 30:40.
  • Jenis borang hak cipta – penerangan
  • Blog Undang-undang Copybites – memberikan berita hak cipta serta ringkasan kes-kes makhamah
  • Infotrieve, Inc. – syarikat penghantaran dokumen yang juga membekalkan perkhidmatan kebenaran hak cipta, pencetakan semula makalah secara pukal, serta penyelesaian e-cetak.
  • IP Watch – laman web berita bebas yang melaporkan pengaruh-pengaruh pelaksanaan undang-undang harta intelektual
  • Panduan perlindungan hak cipta – maklumat dan nasihat asas mengenai bagaimana menggunakan undang-undang untuk menghentikan pelanggaran hak cipta dan penciplakan
  • Penyemak Penyalinan Makalah Laman Web Diarkibkan 2009-04-23 di Wayback Machine – alat dalam talian yang membenarkan pemilik laman web untuk menentukan jika kandungannya telah diSALIN ke laman web yang lain, serta peratusan yang disalin. Juga membandingkan teks asal dengan laman-laman yang disenaraikan dalam GOOGLE.
  • IP Dragon – mengenai harta intelektual di China
  • IP Justice – Pertubuhan Kebebasan Awam Antarabangsa yang mempromosikan pengimbangan undang-undang harta intelektual
  • Sistem Ekonomi Alternatif untuk Era Maklumat[pautan mati kekal] – hujah terhadap kekurangan sistem hak cipta, dengan pemberian satu cadangan sistem ekonomi alternatif
  • Copywar[pautan mati kekal] – cadangan untuk menggantikan sistem hak cipta
  • Keakhiran Zaman Maklumat – analisis untuk sejarah dasar hak cipta dan kesannya terhadap masyarakat
  • Siri Syarahan Maine mengenai Krisis Hak Cipta Diarkibkan 2018-12-16 di Wayback Machine – beberapa syarahan mengenai hak cipta dan falsafah teknologi, oleh Dylan Suzanne
  • Pengenalan ringkas untuk hak cipta – oleh Brad Templeton, dengan pautan-pautan untuk perbincangan yang lebih mendalam
  • Perkhidmatan Penyelidikan Kongres (CRS) Diarkibkan 2009-06-06 di Wayback Machine – laporan mengenai hak cipta
  • 10 Mitos Besar mengenai hak cipta diterangkan
  • Pemberitahuan hak cipta – halaman fakta yang menerangkan pemberitahuan hak cipta dan bagaimana menggunakannya secara berkesan
  • Mitos Hak Cipta dan Tanggapan Salah yang Umum
  • Gerak-gerak Balas terhadap Krisis hak Cipta – apa yang boleh dibuat?
  • Thomas Babbington Macaulay mengenail hak cipta (1841)
  • Projek Dasar Pertuturan Bebas – laporan mengenai hak cipta
  • Undang-undang Persekutuan Rusia mengenai hak cipta
  • Onlinebooks – Perbezaan antara tempoh hak cipta yang diberikan oleh berbagai-bagai negara telah mengakibatkan keadaan yang mana penerbitan karya dalam web sesuatu negara (umpamanya Bulgaria) adalah sah di sisi undang-undang tetapi mencapainya dalam negara yang lain (umpamanya Amerika Syarikat) diharamkan.
  • Jurnal Pengurusan Seni, Undang-undang dan Masyarakat, Jilid 30, No. 3 (musim luruh 2000, Penerbitan Heldref), oleh Hideaki Shirata – Asal Dua Teori Hak Cipta Amerika: Kes Penerimaan Undang-undang Inggeris
  • Perpustakaan dalam Zaman Digit Hari Ini: Perbalahan Hak Cipta Diarkibkan 2010-01-15 di Wayback Machine
  • Infoanarchy.org Diarkibkan 2006-06-19 di Wayback Machine – latar belakang hak cipta, termasuk pautan untuk ekonomi hak cipta serta undang-undang bagi berbagai-bagai negara
  • MP3Board.com Diarkibkan 2014-09-24 di Wayback Machine – laman berita yang mengumpulkan berita hak cipta (serta berita IP yang lain)
  • B. Gates bergembar-gembur tentang Hak Cipta Perisian pada tahun 1980
  • FreeCulture.org
  • Laman web DownHill Battle
  • Persatuan Hak Cipta Seni Reka & Seni – sebuah pertubuhan bukan untung yang diasaskan oleh ahli-ahli seni untuk memperlindungi dan mempromosikan hak cipta mereka
  • Rencana Brett Frischmann dan Dan Moylan – "Doktrin Common Law Yang Semakin Berkembang Mengenai Penyalahgunaan Hak Cipta – Teori Gabungan dan Penggunaannya Untuk Perisian"
  • Pejabat Hak Cipta Amerika Syarikat Diarkibkan 2015-03-20 di Wayback Machine
  • Creative Commons – pertubuhan bukan untung yang memberikan hak cipta alternatif yang bebas dan kurang terhad
  • Akta Cetak Rompak Muzik dan Perakaman Audio Rumah Diarkibkan 2012-04-18 di Wayback Machine – Duke L. & Tech. Rev. 0023, 2002
  • Laman web March of the Spiders Diarkibkan 2016-03-05 di Wayback Machine – oleh Simon Moores untuk Unit Dasar Aediles UK
  • USPTO Stopfakes.gov: Sumber Perniagaan Kecil Diarkibkan 2013-03-13 di Wayback Machine
  • Bromsum.com Diarkibkan 2005-12-12 di Wayback Machine – carta aliran untuk membantu menentukan status hak cipta karya di Amerika Syarikat
  • Perdebatan hak cipta dan RSS
  • Forum Hak Cipta Digit Kanada – perdebatan mengenai undang-undang PCT Kanada (paten, hak cipta, tanda dagangan, dan hak-hak lain yang berkaitan)
  • Perpustakaan Universiti Standford – hak cipta dan kegunaan adil
  • Portal Harta Intelektual Kerajaan British: Sejarah Hak Cipta Diarkibkan 2008-05-16 di Wayback Machine
  • Penciplakan lawan Pelanggaran Hak Cipta – makalah untuk pelajar
  • Bantuan Hak Cipta UK – maklumat dan nasihat untuk hak cipta