Kubuntu

Kubuntu
Kubuntu 20.04 dengan KDE Plasma 5.18.5
PembangunCanonical Ltd. dan penyumbang komuniti
Keluarga OSLinux (Ala UNIX)
KeadaanSemasa
Model sumberPerisian bebas dan sumber terbuka
Keluaran terbaru20.04 (Focal Fossa) / 23 April 2020
Jenis IntiMonolitik
Antaramuka pengguna
terasal
KDE
LesenAwam Am GNU, Awam Am Rendah GNU, dan lain-lain
Laman rasmiwww.kubuntu.org

Kubuntu (/kʊˈbʊnt/ kuu-BUUN-too)[1] ialah salah satu daripada edaran Linux dari cabang rasmi Ubuntu. Ia menggunakan antara muka pengguna grafik berasaskan KDE berbanding Ubuntu yang menggunakan GNOME. Sebagai sebahagian daripada projek Ubuntu, Kubuntu menggunakan dasar sistem yang sama dan berkongsi repositori yang sama dengan Ubuntu[2] serta diterbitkan secara berkala mengikut jadual yang sama seperti Ubuntu[3].

Pada mulanya, Kubuntu ditaja oleh Canonical Ltd. sehingga tahun 2012, selepas itu ianya dipindah milik kepada syarikat Blue Systems. Semasa pengambilalihan, Kubuntu mengekalkan penggunaan pelayan yang digunakan untuk projek Ubuntu dan pembangun sedia ada. Kubuntu 12.10 merupakan versi pertama yang diterbitkan setelah Kubuntu berada di bawah naungan Blue Systems[4].


Sejarah

Idea pembangunan Kubuntu mula tercetus pada bulan Disember 2004 semasa dalam acara Persidangan Ubuntu Mataró di Mataró, Sepanyol[5] apabila seorang pekerja Canonical, Andreas Mueller dari Gnoppix mencadangkan untuk membangunkan projek Ubuntu berasaskan KDE. Idea ini telah mendapat kelulusan dari Mark Shuttleworth bagi memulakan pembangunan sistem pengendalian baru dari varian Ubuntu pertama, yang dipanggil sebagai Kubuntu. Pada masa yang sama, Chris Halls dari projek OpenOffice.org dan Jonathan Riddell dari KDE menyertai projek ini secara sukarela.

Sejurus bermulanya projek Ubuntu, Mark Shuttleworth pernah menyatakan dalam satu wawancara bahawa beliau maklum akan perlunya sistem yang berasaskan KDE bagi mengekalkan kepelbagaian dalam edaran Linux, di mana kepercayaan beliau adalah sejajar dengan tujuan projek Ubuntu secara keseluruhan bagi meningkatkan penerimaan terhadap perisian bebas[6].

K Desktop Environment 3 digunakan sebagai antara muka pengguna grafik yang asal sehingga Kubuntu 8.04. Versi itu memasukkan KDE Plasma Desktop sebagai pilihan yang tidak disokong, kemudian dijadikan sebagai antara muka pengguna grafik lalai dalam kemaskini berikutnya, 8.10[7]..

Pada 6 Februari 2012, Jonathan Riddell dari Canonical mengumumkan penamatan penajaan Kubuntu dari Canonical[8]. Pada 10 April 2012, Blue Systems diumumkan sebagai penaja baru menerusi laman web rasmi Kubuntu. Hasilnya, dua orang pekerja Canonical dipindahkan ke Blue Systems bagi menyambung kerja-kerja berkaitan pembangunan Kubuntu; Jonathan Riddell dan Aurélien Gâteau[9] .

Sejak tahun 2019, Kubuntu telah bekerjasama dengan MindShare Inc. bagi menawarkan produk berasaskan Kubuntu iaitu laptop dan PC-Mini yang dipertingkatkan dan disokong secara spesifik untuk kemaskini LTS[10].


Perbandingan dengan Ubuntu

Kubuntu berbeza dengan Ubuntu dari segi penggunaan aplikasi bergrafik dan alatan:

Perisian Ubuntu Kubuntu
Kernel dan teras Kernel Linux dan teras Ubuntu
Pelayan paparan Pelayan X.Org dan Wayland
Bunyi PipeWire
Multimedia Totem dan Rhythmbox VLC dan Elisa
Pengurusan tetingkap Mutter KWin
Meja GNOME KDE Plasma 5
Alatan utama GTK Qt
Pelayar web Firefox
Perkakasan pejabat LibreOffice
Emel dan PIM Thunderbird


Rujukan

  1. ^ Canonical. "About the Ubuntu project". www.ubuntu.com. Dicapai pada 1 Mei 2018.
  2. ^ "Is Kubuntu a fork?". Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Mac 2008.
  3. ^ "KDE Community Wiki". Kubuntu. 22 Mac 2020. Dicapai pada 9 Disember 2020.
  4. ^ Garling, Caleb (11 April 2012). "Kubuntu Linux Gets New Sugar Daddy". Wired.
  5. ^ "Kubuntu Birthdate". Ubuntu. Dicapai pada 10 Disember 2004.
  6. ^ "Mark Shuttleworth on the Future of Kubuntu". LWN.net. 26 April 2006. Dicapai pada 23 September 2012.
  7. ^ "8.10 Refreshes the Desktop". Kubuntu. 30 Oktober 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Julai 2015. Dicapai pada 23 September 2013.
  8. ^ "Kubuntu Status". Lists.Ubuntu.com. 6 Februari 2012. Dicapai pada 23 September 2013.
  9. ^ "Into the blue". Agateau.com. 11 April 2012. Dicapai pada 23 September 2013.
  10. ^ "Kubuntu Focus". kfocus.org. 12 Februari 2024. Dicapai pada 15 Februari 2024.


Pautan luar

  • Tapak web Kubuntu
Kawalan kewibawaan: Perpustakaan negara Sunting ini di Wikidata
  • Jerman