Sistem barter

Gambaran seorang Māori bertukar tangkapan udang dengan seorang pegawai tentera laut British yang membawa segulung kain di New Zealand, lukisan Tupaia sekitar tahun 1769.

Sistem barter (juga dalam konteks fekah: muqayyadah - Arab: مُقَايَضَة‎code: ar is deprecated muqāyadhah terbitan kata kerja قَايَضَqāyadha "menukar; mengganti"[1]) ialah amalan pertukaran barang tanpa melibatkan mata wang.[2]

Melalui sistem ini mereka terpaksa membuat pilihan sesama mereka untuk mendapatkan barang perantaraan yang dapat membawa manfaat bersama antara mereka. Oleh sebab itu, barang-barang yang digunakan sebagai alat perantaraan itu berbeza mengikut suasana dan zaman. maka jelaslah di sini bahawa pertukaran adalah tidak mustahil tanpa wang dan tidak hairanlah manusia boleh menjalankan kegiatan perdagangan dengan sistem pertukaran barter.

Kelemahan sistem barter

Dalam ekonomi moden, kehendak manusia adalah pelbagai dan kegiatan manusia adalah luas termasuk di dalam dan di luar negara. Oleh itu, sistem barter mempunyai banyak kelemahan jika dipraktikkan dalam masyarakat moden. Antara kelemahan-kelemahannya ialah:

Penemuan kehendak beregu

Kedua-dua pihak A dan B harus mempunyai kehendak yang saling menggenapkan sebelum pertukaran boleh dilakukan. Pihak A harus dapat menawarkan barang X yang dikehendaki oleh B dan pada masa sama pihak A juga harus mempunyai keinginan kepada barang Y yang ditawarkan oleh B. Kadangkala proses pemadanan kehendak yang sesuai mengambil masa yang lama sebelum proses pertukaran boleh dilakukan. Masalah penemuan kehendak bergu ini merupakan masalah paling utama dalam sistem pertukaran barter.

Kesukaran menentukan nilai pertukaran

Semasa pertukaran barang ,sukar untuk menilai dan menentukan kadar pertukaran antara barang yang diingin tukar kerana tiada nilai piawai yang boleh diikuti.

Masalah membahagi barang kepada bahagian yang kecil

Sesetengah barang seperti binatang ternakan tidak boleh dibahagikan kepada unit-unit yang lebih kecil. Contohnya jika seorang penternak memerlukan seekor ayam sedangkan dia mempunyai seekor kambing,adalah tidak wajar baginya untuk memotong sebahagian daripada kambingnya untuk ditukarkan dengan ayam.

Masalah simpanan nilai

Oleh kerana sebahagian besar barangandalam masyarakat primitif itu merupakan hasil pertanian yang mudah rosak dan tidak tahan lama, maka pertukaran yang melibatkan barangan yang tidak tahan lama adalah tidak sesuai untuk ditukarkan, kecuali ia hendak digunakan dengan segera. Akan tetapi, pertukaran selalunya berasaskan barangan lebihan yang tidak akan digunakan dengan segera. Memang ternyatalah bahawa kebanyakan pihak tidak ingin melangsungkan pertukaran untuk memperoleh barangan lain yang tidak tahan lama dan tidak mempunyai ciri simpanan nilai.

Barang tidak tahan lama

Barang yang tidak tahan lama atau tidak mempunyai simpanan nilai yang cepat rosak seperti ikan dan sayur perlu ditukarkan dengan segera. Jika tidak, ia akan rosak dan ini akan merugikan pemilik kerana nilai barang tersebut akan berkurangan.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan, harus diakui bahawa ekonomi yang menggunakan sistem barter atau pertukaran secara langsung itu merupakan satu sistem yang lebih baik daripada sistem sebelumnya, iaitu sistem mampu diri. Sistem barter membolehkan pengeluaran ditingkatkan sebab terdapat kemungkinan pertukaran. Kemungkinan pertukaran telah menggalakkan unit-unit ekonomi menghasilkan pengeluaran yang melebihi keperluannya sendiri. Pertukaran juga membolehkan unit-unit ekonomi menikmati barangan yang sebelumnya tidak pernah dinikmati. Walaupun terdapat kemungkinan pertukaran, proses pertukaran itu tidak sempurna. Banyak pertukaran tidak dapat dijalankan kerana masalah-masalah tersebut dan juga masalah-masalah lain seperti tidak mempunyai sistem penilaian am dan wujudnya kos dalam ekonomi. Oleh itu, pertukaran di bawah sistem barter adalah terhad. Sebahagian masalah itu berpunca daripada kekangan bahawa barangan itu harus ditukarkan satu demi satu dan secara langsung.

Rujukan

  1. ^ Abd. Rauf Dato' Haji Hassan; Abdul Halim Salleh; Khairul Amin Mohd Zain (2005). Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Arab Bahasa Arab-Bahasa Melayu. Shah Alam: Oxford Fajar. m/s. 307. ISBN 967-65-7321-3.
  2. ^ Utami, Fajria Anindya (2020-06-23). "Apa Itu Barter?". Warta Ekonomi. Dicapai pada 2020-10-21.
  • l
  • b
  • s