Windows 2000

Microsoft Windows 2000
ويندوس ٢٠٠٠
Versi sistem pengendalian Windows NT
Paparan skrin Windows 2000 Professional dengan SP4.
PembangunMicrosoft
Keluarga OSMicrosoft Windows
KeadaanTiada sokongan
Model sumber
  • Sumber tertutup
  • Sumber tersedia (melalui Inisiatif Sumber Berkongsi)[1]
Keluaran ke
pembuatan
17 Februari 2000
Keluaran terbaruService Pack 4 dengan Update Rollup (5.0.2195) / 13 September 2005
Sasaran pemasaranKorporat dan pelayan
Jenis IntiHibrid (Kernel Windows NT)
LesenPerisian berhak cipta untuk tujuan komersil
Laman rasmimicrosoft.com/windows2000/ di laman Wayback Machine (diarkibkan pada 3 Disember 2000)
Status sokongan
Sokongan induk tamat pada 30 Jun 2005
Sokongan lanjutan tamat pada 13 Julai 2010[2]

Microsoft Windows 2000 (juga dikenali dengan nama Win2k) ialah sistem pengendalian komputer yang dibangunkan oleh syarikat Microsoft. Sistem pengendalian ini merupakan salah satu daripada keluaran utama berasaskan kepada sistem pengendalian Windows NT yang direka bagi penggunaan berkaitan korporat. Windows 2000 memasuki release to manufacturing (RTM) pada 15 Disember 1999[3], diedarkan secara rasmi kepada peruncitan pada 17 Februari 2000 dan edisi pelayan Windows 2000 Datacenter Server dikeluarkan pada 26 September 2000.

Beberapa ciri diperkenalkan dalam Windows 2000 seperti NTFS 3.0[4], Sistem Penyulitan Fail,[5], serta dua jenis tetapan untuk storan cakera iaitu basic dan dynamic[6]. Sokongan untuk pengguna dengan kelainan upaya juga dinaik taraf berbanding Windows NT 4.0 dengan pengenalan kepada beberapa ciri teknologi bantuan[7] dan Microsoft juga memperluaskan sokongan kepada berbilang bahasa[8] dan maklumat berkaitan tetapan tempatan[9]. Keluaran Windows 2000 Server pula mengandungi beberapa ciri tambahan, paling utama ialah pengenalan kepada Active Directory[10], di mana pada tahun-tahun berikutnya dijadikan sebagai perkhidmatan direktori paling meluas digunakan dalam persekitaran korporat.

Terdapat empat edisi bagi Windows 2000 yang dikeluarkan: Professional, Server, Advanced Server dan Datacenter Server;[11] dua edisi terakhir telah memasuki fasa bakal dikeluarkan dan dilancarkan sebulan selepas keluaran rasmi bagi edisi yang lain[12]. Walaupun tiap-tiap edisi Windows 2000 ditujukan kepada jenis pasaran yang berbeza, edisi-edisi ini memiliki ciri asas yang sama, termasuklah penggunaan kebanyakkan utiliti sistem seperti Microsoft Management Console dan aplikasi pentadbiran sistem yang piawai.

Pada mulanya, Microsoft memasarkan Windows 2000 sebagai sistem pengendalian Windows yang memiliki ciri keselamatan yang paling ketat pada ketika itu[13]. Namun begitu, Windows 2000 telah dijadikan sebagai sasaran beberapa serangan virus berprofail tinggi seperti Code Red[14] dan Nimda[15]. Selepas sepuluh tahun pelancarannya, sistem pengendalian ini masih lagi menerima kemaskini tampalan berkaitan dengan kerentanan keselamatan hampir setiap bulan sehinggalah tamatnya sokongan rasmi pada 13 Julai 2010, hari yang sama di mana tamatnya sokongan untuk Windows XP SP2[2].

Windows 2000 dan Windows 2000 Server telah digantikan dengan Windows XP yang dikeluarkan pada tahun 2001 dan Windows Server 2003 yang dikeluarkan pada tahun 2003.

Windows 2000 juga merupakan versi terakhir Windows NT yang menyokong seni bina PC-98, i486 dan SGI Visual Workstation 320 dan 540, serta Alpha[16]. Pengganti selepasnya, Windows XP hanya menyokong seni bina x86, x64 dan pemproses Itanium.


Sejarah

Pembangunan

Windows 2000, nama asalnya ialah NT 5.0, merupakan kesinambungan daripada keluarga sistem pengendalian Microsoft Windows NT, menggantikan Windows NT 4.0. Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bill Gates pada asalnya "sangat yakin" bahawa NT 5.0 mula dipasarkan pada separuh pertama tahun 1998[17], mendedahkan bahawa set pertama fasa beta telah dipasarkan seawal tahun 1997; versi itu memilii aspek-aspek yang lebih kurang sama dengan Windows NT 4.0. Versi beta rasmi pertama telah dikeluarkan pada bulan September 1997, diikuti dengan Beta 2 pada bulan Ogos 1998[18].

Pada 27 Oktober 1998, Microsoft mengumumkan bahawa nama Windows 2000 akan digunakan dalam versi di peringkat akhir, yang merujuk kepada tahun keluaran yang telah diunjurkan[19]. Windows 2000 Beta 3 telah dikeluarkan pada bulan Mei 1999[18]. NT 5.0 Beta 1 memiliki aspek yang lebih kurang sama dengan NT 4.0, termasuklah penggunaan logo tema yang serupa. NT 5.0 Beta 2 memperkenalkan skrin but mini terbaru dan mengeluarkan tema dark space dalam logo.

Cakera padat Microsoft Windows 2000 Server Release Candidate 2

NT 5.0 versi Beta mengandungi bunyi permulaan dan penutupan yang panjang, walaupun jangka masa bunyi-bunyi ini telah diubah menerusi versi Beta awal Windows 2000, namun dalam versi Beta 3, bunyi permulaan dan penutupan yang menggunakan piano telah direka dan digubal oleh Steven Ray Allen[20]. Ianya juga telah dimasukkan dalam versi akhir serta menerusi sistem pengendalian Windows Me. Paparan log masuk yang baharu yang terdapat dalam versi akhir pada mulanya digunakan dalam versi Beta 3 dengan nombor binaan 1946 (cabang pertama Beta 3).

Ikon baharu yang dikemaskini (untuk My Computer, Recycle Bin dan lain-lain) mula digunakan dalam versi Beta 3 dengan nombor binaan 1964. Paparan but Windows 2000 yang terdapat dalam versi akhir mula diperkenalkan menerusi Beta 3 dengan nombor binaan 1983. Projek Windows 2000 tidak memiliki sebarang kod nama kerana menurut Dave Thompson , ahli pasukan Windows NT, "Jim Allchin tidak berminat dengan kod nama"[21].

Semasa dalam pembangunan, terdapat pakej yang dibangunkan untuk sokongan seni bina Alpha, namun ianya tidak diteruskan pada fasa akhir pembangunan sistem pengendalian ini (sewaktu fasa RC1 dan RC2[22]) selepas Compaq mengumumkan bahawa mereka tidak lagi memberikan sokongan Windows NT dalam Alpha[23]. Dari sini, Microsoft menerbitkan tiga versi release candidate (RC) dalam tempoh di antara bulan Julai hingga November 1999, dan akhirnya menerbitkan sistem pengendalian ini kepada rakan kongsi pada 12 Disember 1999, diikuti dengan versi RTM pada 15 Disember 1999[24]. Versi penuh Windows 2000 pula dijangka akan dilancarkan kepada umum pada 17 Februari 2000.

Pelancaran

Tiga hari sebelum tarikh pelancaran rasmi itu, memo dalaman Microsoft dilaporkan telah dibocorkan dan dilaporkan oleh penulis Mary Jo Foley mengatakan bahawa Windows 2000 mengandungi "lebih 63,000 potensi kecacatan yang diketahui"[25]. Selepas artikel Mary itu diterbitkan, dia mendakwa pihak Microsoft telah menyenaraihitamkannya untuk tempoh masa yang agak lama[26]. Namun begitu, Abraham Silberschatz et al. menerusi buku teks sains komputer mereka menyatakan bahawa, "Windows 2000 merupakan sistem pengendalian Microsoft yang paling stabil dan telah terbukti yang pernah dikeluarkan. Pendirian ini adalah berdasarkan kepada kematangan dalam kod sumber, ujian tegasan yang berterusan telah dilakukan dan pengesanan automatik terhadap kepincangan serius dalam pemacu-pemacu."[27]

Laman berita InformationWeek menyimpulkan bahawa "keputusan ujian kami mendapati pengganti kepada NT 4.0 ini adalah apa yang kami harapkan. Sudah tentu ia tidaklah begitu sempurna."[28] Laman berita Wired pula mendakwa bahawa sambutan yang diterima terhadap pengeluaran rasmmi Windows 2000 kepada pengguna tidak begitu baik dan hambar[29]. Syarikat Novell juga mengkritik seni bina Active Directory, perkhidmatan direktori terbaru, sebagai kurang berskala atau tidak boleh diharap berbanding dengan pilihan alternatif, Novell Directory Services (NDS) yang dimiliki mereka sendiri[30].

Tablet komputer Fujitsu yang menjalankan sistem pengendalian Windows 2000.

Pada 17 Februari 2000, sistem pengendalian Windows 2000 dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif pada ketika itu, Bill Gates bertempat di San Francisco, Amerika Syarikat[31]. Beliau juga merupakan Ketua Arkitek Perisian pada ketika itu memaklumkan bahawa seramai 750,000 penguji beta telah mengambil bahagian dalam pembangunan dan kerja-kerja di belakang tabir. Dalam acara ini juga, beliau melakukan demonstrasi masa nyata bagaimana prestasi sistem pengendalian Windows 2000 dipertunjukkan menerusi pemasangan dalam beberapa perkakasan berbeza untuk senario berbeza:

  • Penggunaan komputer meja dengan sistem pengendalian Windows 2000 Professional, demonstrasi terhadap penyelarasan maklumat rantauan laptop dan pengguna[32].
  • 400 komputer stesen kerja Dell melakukan jutaan hit ke atas laman web e-dagang yang dihoskan menggunakan 32 pelayan berkelompok yang menjalankan sistem pengendalian Windows 2000 Servers[32].
  • Pelayan Unisys menjalankan sistem pengendalian Windows 2000 Datacenter Server versi beta[32].
  • Beberapa peranti elektronik seperti komputer meja, laptop, PDA dan peranti kepenggunaan lain yang menjalankan sistem pengendalian Windows 2000[32].

Majlis pelancaran ini juga disertai oleh pelakon Sir Patrick Stewart yang terkenal menerusi drama bersiri Star Trek pada ketika itu[31] serta artis rock Carlos Santana bersama kumpulannya[33].

Harga pengenalan yang ditetapkan Microsoft bagi edisi Windows 2000 Professional adalah sebanyak $319, harga yang sama ditetapkan untuk sistem pengendalian Windows NT 4.0 Workstation[34]. Bagi pengguna yang ingin melakukan naik taraf daripada sistem pengendalian Windows NT 4.0 perlu membayar $149. Disebabkan Windows 2000 direka bagi tujuan korporat, pengguna biasa yang ingin melakukan naik taraf daripada sistem pengendalian Windows 95 atau Windows 98 perlu membayar sebanyak $219 kerana kedua-dua sistem pengendalian ini direka bagi tujuan umum. Sebelumnya, Microsoft menetapkan bahawa pengguna perlu membayar harga penuh jika ingin melakukan naik taraf daripada kedua-dua sistem pengendalian itu[34].


Pasang atur

Keperluan sistem

Minima Disarankan
Mikropemproses Pentium 133 MHz Pentium II 300 MHz
RAM 32 MB (128 MB untuk Windows 2000 Server) 128 MB (256 MB untuk Windows 2000 Server)
Storan kosong 1 GB (2 GB untuk Windows 2000 Server) 5 GB
Komponen grafik Paparan dengan saiz 800×600 VGA atau lebih baik Paparan dengan saiz 1024×768 VGA atau lebih baik
Peranti input Papan kekunci dan/atau tetikus

Kaedah

Windows 2000 boleh dipasang atur kepada tapak melalui pelbagai kaedah. Ianya boleh dipasang ke dalam pelayan melalui media lazim (seperti CD)[35] atau melalui folder yang diagihkan menerusi capaian folder bersama. Pemasangan juga boleh dilakukan secara berkendali atau tidak berkendali. Semasa pemasangan secara manual, pentadbir perlu menetapkan pilihan konfigurasi[36].

Pemasangan secara tidak berkendali pula menggunakan skrip menerusi fail answer atau skrip pratertakrif dalam bentuk fail INI yang mengandungi maklumat mengenai tetapan yang telah diisi. Fail answer (.INI) boleh dicipta secara manual atau menggunakan pengurus persediaan bergrafik. Program Winnt.exe atau Winnt32.exe pula menggunakan fail INI bagi menjalankan pemasangan secara automatik. Pemasangan secara tidak berkendali boleh dilakukan sama ada melalui CD boleh but, menggunakan Microsoft Systems Management Server (SMS)[37], melalui System Preparation Tool (Sysprep)[38], program Winnt32.exe yang menggunakan arahan /syspart atau Perkhidmatan Pemasangan Jauh (RIS)[39]. Keupayaan untuk menyisipkan pemasangan service pack ke dalam fail persediaan sistem pengendalian yang asal juga diperkenalkan dalam Windows 2000[40].

Kaedah sysprep dimulakan dari komputer induk standard - walaupun spesifikasi perkakasan tidak perlu sama - dan ia akan menyalin fail pemasangan yang diperlukan dari komputer induk kepada komputer penerima yang ingin dilakukan pemasangan Windows 2000[41]. Cakera keras pula tidak diperlukan untuk berada di dalam komputer penerima dan boleh ditukarkan pada bila-bila masa, dengan perkakasan tetap di kemudian hari. Program Winnt.exe juga perlu menggunakan arahan /unattend yang ditujukan kepada fail answer yang betul[41] dan arahan /s yang ditetapkan kepada satu atau lebih direktori sumber pemasangan sistem pengendalian[38].

Sysprep membolehkan imej cakera pemasangan Windows 2000 Server diduplikasi ke dalam beberapa pelayan. Ini bermakna kesemua aplikasi dan tetapan konfigurasi sistem akan disalin kepada pemasangan di peranti lain, oleh itu komputer penerima perlu memiliki hardware abstraction layer (HAL), sokongan ACPI dan peranti storan massa yang sepadan - walaupun Windows 2000 berupaya untuk mengesan komponen peranti "pasang dan pakai" secara automatik. Kaedah sysprep lebih disarankan kerana Windows 2000 mampu dipasang atur dalam sesebuah lokaliti yang mengandungi banyak komputer yang memiliki spesifikasi yang sepadan dengan lebih cepat.

Systems Management Server boleh digunakan untuk menaik taraf pelbagai komputer kepada sistem pengendalian Windows 2000. Peranti-peranti ini mestilah menjalankan sistem pengendalian semasa Windows NT 3.51, Windows NT 4.0, Windows 98 atau Windows 95 OSR2.x selain memasang program ejen klien SMS yang akan menerima fail operasi pemasangan perisian. Penggunaan SMS membolehkan pemasangan dijalankan dalam lokaliti yang lebih meluas dan memberikan kawalan berpusat ke atas naik taraf sistem pada pelbagai peranti atau komputer.


Edisi

Microsoft telah mengeluarkan beberapa edisi untuk sistem pengendalian Windows 2000 yang dipasarkan untuk pelbagai pasaran yang berbeza dan keperluan korporat: Professional, Server, Advanced Server dan Datacenter Server. Setiap edisi dijual secara berasingan.

Windows 2000 Professional direka sebagai sistem pengendalian meja untuk penggunaan korporat dan pengguna mahir. Edisi ini menawarkan lebih kawalan sekuriti dan stabil berbanding sistem pengendalian meja Windows sebelumnya. Ia menyokong sehingga dua pemproses, dan mampu mengendalikan memori ingatan capaian rawak (RAM) sehingga 4 GB. Keperluan sistem minima yang diperlukan untuk memasang edisi ini adalah pemproses Intel Pentium (atau setara) berkelajuan 133 MHz atau lebih, RAM sekurang-kurangnya 32 MB, storan kosong sebanyak 650 MB dan pemacu CD-ROM[42]. Walaupun keperluan sistem minima ini dikeluarkan secara rasmi, terdapat laporan yang menyatakan bahawa Windows 2000 boleh dipasang kepada komputer yang menggunakan pemproses generasi ke-4 x86 seperti 80486.

Windows 2000 Server memiliki paparan antara muka yang sama seperti edisi Windows 2000 Professional, namun terdapat beberapa komponen tambahan untuk menjalankan fungsi-fungsi pelayan[43] dan menjalankan program berkaitan infrastruktur dan aplikasi bergred perusahaan. Komponen baharu dan paling utama yang diperkenalkan dalam versi ini adalah Active Directory, yang merupakan perkhidmatan direktori bagi korporat yang berteraskan kepada protokol LDAP (Protokol Capaian Direktori Ringan)[44]. Selain itu, Microsoft mengintegrasikan pengesahsahihan menggunakan rangkaian Kerberos, menggantikan sistem pengesahsahihan NTLM (NT LAN Manager) yang banyak dikritik dan digunakan dalam sistem pengendalian sebelum ini[45]. Rangkaian Kerberos menawarkan hubungan bersifat transitif dan kepercayaan di antara pelayan Windows 2000 Server di dalam forest (koleksi satu atau lebih domain Windows 2000 yang memilik persamaan dari segi skema yang sepadan, konfigurasi dan katalog global, yang berhubung menerusi hubungan dua hala transitif dan boleh percaya)[46]. Edisi ini juga memperkenalkan kepada Sistem Nama Domain (DNS) yang membolehkan pendaftaran dinamik untuk alamat IP. Windows 2000 Server menyokong sehingga 4 pemproses dengan keperluan minima RAM sebanyak 128 MB dan storan kosong sebanyak 1 GB, namun keperluan ini boleh menjadi tinggi bergantung kepada komponen yang dipasang[42].

Windows 2000 Advanced Server ialah varian kepada sistem pengendalian Windows 2000 Server yang dibangunkan bagi tujuan perusahaan medium dan besar. Ia menawarkan keupayaan untuk membina pelayan berkelompok[47], menyokong sehingga 8 pemproses, RAM sehingga 8 GB menerusi kaedah sistem Pemanjangan Alamat Fizikal (PAE)[48] dan berupaya melakukan multipemproses bersimetri (SMP) 8-hala. Selain itu, edisi ini juga menyokong pengimbangan muatan TCP/IP dan ianya dibina berdasarkan kepada Microsoft Cluster Server (MSCS) dalam Windows NT Enterprise Server 4.0, menambahkan fungsi untuk pelayan berkelompok dua-nod yang dipertingkatkan. Keperluan sistem adalah serupa dengan Windows 2000 Server, namun berkemungkinan keperluan ini perlu dipertingkatkan supaya ianya dapat menyokong pembesaran sistem untuk kegunaan infrastruktur yang besar.

Windows 2000 Datacenter Server ialah varian kepada sistem pengendalian Windows 2000 Server yang direka untuk perusahaan kompleks yang biasanya melakukan banyak transaksi melibatkan permindahan sejumlah data yang sulit dan sensitif menerusi pelayan berpusat[49]. Seperti Windows 2000 Advanced Server, edisi ini juga menyokong fungsi kluster, pemulihan dan pengimbangan muatan. Keperluan sistem minima adalah serupa dengan Windows 2000 Advanced Server, namun edisi ini telah dibangunkan untuk berupaya mengendalikan sistem yang boleh terima rosak, berkemahiran tinggi dan pembesaran sistem dengan klien komputer sehingga 32 mikropemproses dan RAM sehingga 32 GB, dengan pengujian dan kelayakan yang teliti, pemetakan perkakasan, penyelenggaraan yang dikoordinasi dan melakukan proses kawalan ubah. Edisi ini dibina berdasarkan kepada Windows 2000 dengan Service Pack 1[49] dan tidak dijual di mana-mana peruncitan[50].


Lihat juga

  • Pembezaan sistem pengendalian
  • Microsoft Servers - jenama bagi sistem pengendalian untuk pelayan dari Microsoft
  • DEC Multia - Windows 2000 Beta dijalankan di atas Alpha-PUs
  • Windows Neptune - edisi bagi pasaran kepenggunaan yang dibatalkan, berasaskan Windows 2000


Rujukan

  1. ^ "Microsoft Shared Source Initiative Overview". Microsoft. Mac 2003. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2003. Dicapai pada 17 Februari 2017.
  2. ^ a b "Microsoft Product Lifecycle for Windows 2000 family". Support. Microsoft. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 April 2013. Dicapai pada 17 Februari 2017.
  3. ^ "Microsoft Releases Windows 2000 to Manufacturing". News Center. Microsoft. 15 Disember 1999. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Jun 2019. Dicapai pada 14 Februari 2017.
  4. ^ "New Capabilities and Features of the NTFS 3.0 File System". Microsoft Support. Microsoft. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Oktober 2007. Dicapai pada 14 Februari 2017.
  5. ^ "Implementing the Encrypting File System in Windows 2000". Microsoft TechNet. Microsoft. 24 Mac 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Ogos 2017. Dicapai pada 14 Februari 2017.
  6. ^ "Disk Management". Microsoft TechNet. Microsoft. 18 Julai 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Disember 2016. Dicapai pada 14 Februari 2017.
  7. ^ "Windows 2000 Professional Accessibility Features". Microsoft. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Disember 2003. Dicapai pada 14 Februari 2017.
  8. ^ "Frequently Asked Questions: Windows Server 2003, Windows XP, and Windows 2000 MUI". Microsoft Developer Network. Microsoft. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Februari 2017. Dicapai pada 17 Februari 2017.
  9. ^ "Windows 2000 - List of Locale IDs and Language Groups". Global Development and Computing Portal. Microsoft. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Februari 2003. Dicapai pada 14 Februari 2017.
  10. ^ "Windows 2000 Server Family". Microsoft TechNet. Microsoft. 18 Julai 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Disember 2016. Dicapai pada 17 Februari 2017.
  11. ^ "Microsoft Renames Windows NT 5.0 Product Line to Windows 2000; Signals Evolution of Windows NT Technology Into Mainstream". News Center. Microsoft. 27 Oktober 1998. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Januari 2009. Dicapai pada 14 Februari 2017.
  12. ^ "Microsoft Announces Final Packaging for Windows 2000". News Center. Microsoft. 17 Ogos 1999. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Mei 2014. Dicapai pada 14 Februari 2017.
  13. ^ "Microsoft and CyberSafe Extend Windows 2000 Security Across the Enterprise". News Center. Microsoft. 17 Januari 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Februari 2017. Dicapai pada 17 Februari 2017.
  14. ^ " 'Code Red' Worm Exploiting Buffer Overflow in IIS Indexing Service DLL". CERT Coordination Center. Software Engineering Institute. 19 Julai 2001. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Ogos 2016. Dicapai pada 17 Mei 2019.
  15. ^ Swartz, Jon (25 September 2001). "Nimba called most serious Net attack on business". USA Today. Gannett Company. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Februari 2017. Dicapai pada 17 Februari 2017.
  16. ^ "Update: Microsoft cancels 64-bit Windows 2000 on Alpha". ITPro Today (dalam bahasa Inggeris). 26 Ogos 1999. Dicapai pada 12 Disember 2023.
  17. ^ Martin, Veitch (20 Mac 1997). "NT 5.0 to ship first half of 1998 - Gates". ZDNet. Dicapai pada 5 Mei 2024.
  18. ^ a b Thurrott, Paul (15 Disember 1999). "Road to Gold: A Look at the Development of Windows 2000". Supersite for Windows. Penton. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Ogos 2017. Dicapai pada 17 April 2019.
  19. ^ Trott, Bob (27 Oktober 1998). "It's official: NT 5.0 becomes Windows 2000". InfoWorld. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Mac 2005. Dicapai pada 22 April 2006.
  20. ^ Fran Board (27 April 2022). "Ta-da! It's Windows! ". 20k.org (Audio siar). Twenty Thousand Hertz. Dicapai pada 7 Disember 2022.
  21. ^ Thurrott, Paul (8 Ogos 2013). "SuperSite Flashback: NT's First Decade". Supersite for Windows. Penton. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Ogos 2017. Dicapai pada 10 Ogos 2013.
  22. ^ "RC1 was the build 2072 from June 1999 (and last public Alpha/2000 build), the last known internal build was 2128 and the "Gold" release of Windows 2000 was build 2195". Alphant.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 November 2011.
  23. ^ Magee, Mike (26 Ogos 1999). "Leaked Compaq Q&A shows level of 64-bit NT Alpha chaos". The Register. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Mei 2004. Dicapai pada 24 April 2024.
  24. ^ "Windows 2000 history". ActiveWin. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Mei 2006. Dicapai pada 5 Mei 2024.
  25. ^ Foley, Mary Jo (14 Februari 2000). "Bugfest! Win2000 has 63,000 'defects' ". ZDNet. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Januari 2007. Dicapai pada 29 Julai 2014.
  26. ^ McLaws, Robert (20 September 2006). "Mary Jo Foley: The Exit Interview". WindowsNow. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Januari 2015. Dicapai pada 26 Julai 2014.
  27. ^ John Wiley & Sons (2010). Operating System Concepts with Java, 8th Edition, page 901.
  28. ^ "Special Report - Windows 2000 Review: Say Hello to Win2000". InformationWeek. 6 November 2003. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Disember 2015. Dicapai pada 17 April 2019.
  29. ^ Heilemann, John. "The Truth, The Whole Truth, and Nothing But The Truth". Wired. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Julai 2008. Dicapai pada 17 April 2019.
  30. ^ "NDS eDirectory vs. Microsoft Active Directory? ". Novell. 17 November 1999. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Februari 2005. Dicapai pada 5 Mei 2024.
  31. ^ a b Gouthro, Liane (18 Februari 2000). "Gates officially unveils Windows 2000". CNN. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Mei 2024. Dicapai pada 5 Mei 2024.
  32. ^ a b c d "Windows 2000 Finally Here!". 1105 Media Inc. 17 Februari 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Ogos 2022. Dicapai pada 5 Mei 2024.
  33. ^ "Gates Ushers in Next Generation of PC Computing With Launch of Windows 2000" (Siaran akhbar). Microsoft. 17 Februari 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Mac 2024. Dicapai pada 5 Mei 2024.
  34. ^ a b "Microsoft outlines Windows 2000 pricing". CNET. 2 Januari 2002. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Mac 2022. Dicapai pada 5 Mei 2024.
  35. ^ "Installing Microsoft Windows 2000 Server - Servers". IBM. 11 September 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Mei 2024. Dicapai pada 5 Mei 2024.
  36. ^ Thurrott, Paul (18 September 1999). "Installing Windows 2000 Professional". ITPro Today. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 September 2023. Dicapai pada 5 Mei 2024.
  37. ^ Rice, Christopher (20 Julai 2010). "Using SMS 2.0 and Windows 2000, …together?". TechnologyAdvice. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Disember 2023. Dicapai pada 5 Mei 2024.
  38. ^ a b Stecker, Sean (20 Julai 2010). "Using Sysprep to deploy Windows 2000 Professional". TechnologyAdvice. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 September 2023. Dicapai pada 5 Mei 2024.
  39. ^ Gunson II, John (23 Mac 2000). "Remotely Deploy Windows 2000". ITPro Today. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Mei 2024. Dicapai pada 6 Mei 2024.
  40. ^ "Make deployment easier in Windows 2000". Microsoft.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Jun 2007. Dicapai pada 13 November 2011.
  41. ^ a b McIntosh, Robert (28 Mei 2000). "Automating Windows 2000 Installations with Sysprep". ITPro Today. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 November 2018. Dicapai pada 6 Mei 2024.
  42. ^ a b "System requirements for Microsoft Windows 2000 operating systems". Diarkibkan daripada yang asal pada 16 April 2008. Dicapai pada 23 Mei 2008.
  43. ^ Walshaw, Robin (2000). Mission Critical Windows 2000 Server Administration. Syngress. ISBN 978-192-8994-16-9.
  44. ^ "What is lightweight directory access protocol (LDAP) authentication?". Red Hat, Inc. 3 Jun 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Februari 2024. Dicapai pada 6 Mei 2024.
  45. ^ Franklin Smith, Randy (25 November 2001). "Access Denied--Implementing NTLMv2 on Win2K, NT, and Win9x machines". ITPro Today. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Mei 2024. Dicapai pada 7 Mei 2024.
  46. ^ Buckbee, Michael (9 Jun 2022). "Kerberos Authentication Explained". Varonis. Dicapai pada 6 Mei 2024.
  47. ^ "Installing Cluster Service using ServeRAID controller for Microsoft Windows 2000 Advanced Server - Servers". IBM. 27 Januari 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Mei 2024. Dicapai pada 7 Mei 2024.
  48. ^ "ClearQuest support for Physical Address Extension on Windows". IBM. 23 Jun 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Mei 2024. Dicapai pada 7 Mei 2024.
  49. ^ a b "The Datacenter Program and Windows 2000 Datacenter Server Product". Support.microsoft.com. 28 Februari 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 November 2011. Dicapai pada 13 November 2011.
  50. ^ "Microsoft Announces Datacenter Program for Windows 2000". Microsoft.com. 15 Februari 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Mac 2014. Dicapai pada 9 Januari 2013.


Bacaan lanjut

  • Bolosky, William J.; Corbin, Scott; Goebel, David; & Douceur, John R. "Single Instance Storage in Windows 2000". Microsoft Research & Balder Technology Group, Inc. (white paper).
  • Bozman, Jean; Gillen, Al; Kolodgy, Charles; Kusnetzky, Dan; Perry, Randy; & Shiang, David (October 2002). "Windows 2000 Versus Linux in Enterprise Computing: An assessment of business value for selected workloads". IDC, sponsored by Microsoft Corporation. White paper.
  • Finnel, Lynn (2000). MCSE Exam 70-215, Microsoft Windows 2000 Server. Microsoft Press. ISBN 1-57231-903-8.
  • Microsoft. Running Nonnative Applications in Windows 2000 Professional. Windows 2000 Resource Kit. Retrieved 4 Mei 2005.
  • Microsoft. "Active Directory Data Storage". Retrieved 9 Mei 2005.
  • Minasi, Mark (1993). Installing Windows 2000 of Mastering Windows 2000 Server. Sybex. Chapter 3 — Installing Windows 2000 On Workstations with Remote Installation Services.
  • Russinovich, Mark (Oktober 1997). "Inside NT's Object Manager". Windows IT Pro.
  • Russinovich, Mark (2002). "Inside Win2K NTFS, Part 1". Windows IT Pro (formerly Windows 2000 Magazine).
  • Saville, John (January 9 2000). "What is Native Structure Storage?". Windows IT Pro (formerly Windows 2000 Magazine).
  • Siyan, Kanajit S. (2000). "Windows 2000 Professional Reference". New Riders. ISBN 0-7357-0952-1.
  • Salomon, David; & Russinovich, Mark E. (2000). Inside Microsoft Windows 2000 (Third Edition). Microsoft Press. ISBN 0-7356-1021-5.
  • Tanenbaum, Andrew S. (2001) , Modern Operating Systems (2nd Edition) , Prentice-Hall
  • Trott, Bob (27 Oktober 1998). "It's official: NT 5.0 becomes Windows 2000". InfoWorld.
  • Wallace, Rick (2000). MCSE Exam 70-210, Microsoft Windows 2000 Professional. Microsoft Press. ISBN 1-57231-901-1.


Pautan luar

  • Penamatan jangka hayat Windows 2000
  • Windows 2000 Service Pack 4
  • Windows 2000 Update Rollup 1 Version 2


  • l
  • b
  • s
MS-DOS / 9x
1.0 · 2.0 · 2.1x · 3.0 · 3.1x · 95 · 98 · Me
NT
NT 3.1 · NT 3.5 · NT 3.51 · NT 4.0 · 2000 · XP (edisi) · Server 2003 · Fundamentals for Legacy PCs · Vista (edisi) · Home Server · Server 2008 · 7 · 8
CE
CE 1.0 · CE 2.0 · CE 3.0 · CE 4.0 · CE 5.0 · CE 6.0 · Mobile
Akan datang
Projek
Dibatalkan: Cairo · Nashville · Neptune · Odyssey · Berkaitan: OS/2
Kawalan kewibawaan: Perpustakaan negara Sunting ini di Wikidata
  • Perancis (data)
  • Republik Czech